Rabu, 28 November 2012

INGIN MENJADI GURU CEMERLANG ATAU DIKENALI DENGAN GC?

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.
     Bagi yang membaca artikel ini diucapkan terima kasih kerana sudi membacanya walaupun artikel ini tidaklah sehebat manapun tetapi disebabkan ingin berkongsi sedikit mengenai ilmu untuk memohon GC supaya rakan-rakan di luar sana juga boleh menjadi GC. Pada mulanya saya tidaklah berminat untuk memohon tetapi di atas dorongan rakan-rakan seperjuangan yang melihat dari perspektif kaca mata mereka bahawa saya layak untuk memohon, jadi hasrat murni ini saya teruskan. Ini kemungkinan juga mereka melihat saya banyak membuat modul untuk pelajar saya dan juga ketika p&p saya banyak menggunakan LCD dan komputer sebagai bahan bantu mengajar saya. Untuk pengetahuan pembaca, saya adalah guru biasa-biasa sahaja tetapi disebabkan minat yang mendalam dalam profesion ini, jadi saya banyak menimba ilmu menerusi internet, pembacaan buku-buku, perkongsian ilmu daripada rakan-rakan sejawatan yang telah telah lama berkhidmat dan sebagainya.
     Baiklah, berbalik kepada bagaimana untuk memohon GC? Sesiapa sahaja guru-guru yang telah berkhidmat selama 5 tahun layak memohon GC. Walau bagaimanapun, persiapan perlu ada untuk bergelar GC kerana GC tidak sama dengan guru biasa. Tidaklah nanti, orang akan mengata...GC dan guru biasa sama jerrrrrrrrr! Melalui pengalaman saya....walaupun belum lagi bergelar GC, perkara utama yang dititikberatkan ialah sistem fail. Sekiranya anda adalah guru tingkatan, guru kebajikan, ketua panitia...anda perlu mewujudkan fail-fail berkaitan termasuklah fail peribadi atau dikenali dengan fail meja. Saya ingin memberi penekanan kepada fail meja. Apa yang perlu ada dalam fail meja ialah ringkasan tugas anda untuk setahun, surat menyurat, sijil, minit mesyuarat dan hand out tugas-tugas semasa, berkaitan peperiksaan, kajian tindakan, laporan dan banyak lagi yang berkaitan dengannya. Manakala untuk modul, anda dinasihatkan untuk mewujudkan satu fail lain dan susun mengikut kreativiti anda sendiri, kerana saya percaya guru-guru sememangnya memiliki sifat kreatif dan inovatif!
     Fail untuk guru tingkatan sekiranya anda memegang kelas ialah senarai pelajar, maklumat peribadi pelajar, catatan ringkas bilangan kehadiran mereka, senarai bayaran yang dikenakan kepada pelajar, keputusan peperiksaan mereka dan apa sahaja yang berkaitan dengan pelajar tersebut.
     Manakala sekiranya anda adalah ketua panitia, sememangnya anda telahpun didedahkan dengan sistem fail sebagaimana yang dikehendaki oleh pihak pentadbir. Walaubagaimanapun, fail-fail tersebut perlu sentiasa dikemaskinikan dan ditulis minit fail tersebut. Hal ini kerana, tidaklah nanti kelam kabut apabila diminta untuk diserahkan fail-fail kepada nazir yang memantau nanti.
    Mengenai fail yang berkaitan dengan tugas-tugas sampingan seperti guru kebajikan, ketua penasihat persatuan atau kelab dan sebagainya ialah senarai nama pelajar, carta organisasi, maklumat persatuan atau kelab, laporan, surat menyurat, minit mesyuarat, aktiviti yang akan dijalankan untuk setahun (pelan strategik) dan sebagainya yang mempunyai kaitan dengan perkara tersebut perlu dimuatkan ke dalamnya.
     Selain itu juga, anda perlu memastikan buku rekod mengajar sentiasa ditulis dan dikemaskinikan maklumat yang berhubung dengannya. Di samping itu, buku-buku nota atau latihan sentiasa dipantau dan ada bukti pemantauan seperti borang pemantauan atau sebagainya.
     Sebelum saya terlupa, anda juga perlu menguasai ilmu yang berkaitan dengan pendidikan, hal ehwal semasa pendidikan dan teknik pengajaran anda. Untuk itu, anda dinasihatkan supaya sentiasa memastikan teknik pengajaran anda boleh menarik minat pelajar dan berusaha untuk menjadikan pengajaran sesuatu yang menyeronokkan kepada pelajar. Akhir kata, saya mendoakan supaya anda juga memohon GC dan menjadi GC supaya dapat mencipta pengajaran dan pembelajaran yang lebih canggih dan inovasi untuk dikongsikan dengan guru-guru yang lain. SELAMAT MENCUBA!!!

Salam ingatan,
Admin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan